UCAPAN 1 PK PENTADBIRAN 2014

BUTIRAN UCAPAN PK PENTADBIRAN
MESYUARAT PENGURUSAN PENDIDIKAN/SEKOLAH KALI PERTAMA
TAHUN 2014(30/12/13)
SMK ST ANTHONY
1.        Assalamualaikum, bertemu lagi dalam mesyuarat guru kali pertama bagi memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2014.
2.       Kehadiran seperti hari ini adalah satu rutin dalam kehidupan kita sebagai seorang guru. Namun begitu kita tidak boleh mengambil sikap sambil lewa dengan menganggap hanya sebagai rutin biasa sahaja.
3.       Kehadiran hari ini biarlah menjadi  satu titik tolak yang baik dalam usaha kita melihat dengan jelas senario baru dalam bidang kerjaya kita. Kita guru mesti benar-benar jelas dengan amanah dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita.
4.       Harapan dan cabaran dalam bidang pendidikan semakin berubah, sekiranya kita tidak turut berubah bersesuaian dengan harapan dan cabaran baru, kita akan terus ketinggalan. Kita tidak boleh jumud dan selesa dengan sikap yang tidak suka kepada perubahan dan memandang negatif kepada idea-idea baru dalam bidang pendidikan.
5.       Perubahan dalam bidang pendidikan memerlukan kita bekerja lebih kuat, lebih komited dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Kerja kuat kita bukan sekadar mengikut arahan pihak pentadbiran, tetapi lebih daripada itu guru hendaklah mengambil inisiatif sendiri dengan idea yang kreatif dan inovatif dalam membantu pelajar mencapai hasrat mereka dalam pendidikan.
6.       Kepuasan hakiki yang akan dapat dikecapi oleh seorang pendidik adalah berdasarkan setakat mana dia telah berusaha membantu para pelajar melakukan perubahan tingkahlaku dalam PdP di dalam dan di luar bilik darjah.
7.       Oleh yang demikian seorang pendidik yang sebenar, tetap akan berasa sedih dan kecewa sekiranya anak muridnya gagal dalam peperiksaan walaupun dia sudah berusaha bertungkus lumus melaksanakan tugasnya.  Beliau tetap melihat kekurangan dalam usahanya sendiri dan tidak pula menyalahkan pelajar dan orang lain.
8.       Justeru saya ingin mengajak diri saya sendiri dan semua warga pendidik SMK St Anthony, marilah kita berusaha lebih gigih dan lebih kuat, memberi pendidikan yang sempurna kepada para pelajar kita. Tanpa pelajar siapalah kita. Pelajar adalah menjadi keutamaan kita.
9.       Keputusan PMR 2013 telah diumumkan, sekolah kita(53.85%)/(56.92%) antara 5 buah sekolah di Daerah Hilir Perak yang tidak mencapai kelulusan minimum standard 60% seperti yang telah ditetapkan oleh JPN Perak.
10.   Perbandingan GPS pula menunjukkan sekolah kita(3.33) pada kedudukan kedua terakhir sebelum SMK Rungkup.   Ini adalah keputusan yang paling menyedihkan kita. Di mana silapnya?
11.   Dalam keadaan di mana 18 buah sekolah gembira dengan peningkatan bagi Kuantiti, Kualiti dan GPS sehingga Hilir Perak mencapai tempat pertama dan kedua di Negeri Perak, Sekolah kita tidak menyumbang apa-apa dengan kemerosotan dalam semua mata pelajaran kecuali Sejarah dan Bahasa Cina.
12.   PPD telah mengarahkan semua sekolah membuat Post Mortem dalam Mesyuarat Kurikulum dan Mesyuarat Panitia Pertama 2014. Post Mortem hendaklah dibuat bagi semua mata pelajaran  dan semua pelajar, apa/mengapa faktor capai dan tidak capai, meliputi kualiti, kuantiti dan GPMP serta apa tindakan untuk mengatasi/penambahbaikan. Post Mortem ini hendaklah dihantar ke PPD pada minggu ke tiga bulan Januari 2014 (sebelum 15/1/2014).
13.   Kita mungkin boleh memberi pelbagai alasan terhadap kemerosotan, tetapi secara jujur kita kena sama-sama bermuhasabah dan mencari penyelesaian bagi pihak kita. Kita cuba cari apa sumbangan dan peranan yang  boleh kita beri, apa perubahan yang boleh kita buat, apa idea dan pandangan yang patut dibincangkan.
14.   Semua warga SASTI mesti mengambil tanggungjawab ini untuk mengembalikan imej dan kepercayaan masyarakat terhadap sekolah kita. Walau apa pun perubahan dan kemajuan yang telah kita buat terhadap sekolah, akhirnya keputusan peperiksaan juga menjadi perhatian utama sebagai penentu imej bagi masyarakat.
15.   Oleh itu kita kena sama-sama memperkasakan peranan, tugas dan tanggungjawab masing-masing. Mulai saat ini mari sama-sama kita berjanji dan berazam untuk menyahut cabaran ini, dan saya penuh yakin kita boleh dan sebenarnya kita telah pun bermula.
16.   Kita mula dengan perancangan strategik, kita adakan LADAP, kita mulakan program peningkatan PdP, kita laksanankan KBAT, PLC, i-Think, pencerapan, atau apa sahaja program yang kita namakan, masuk ke kelas ikut masa, mengajar bersungguh-sungguh, betulkan akhlak pelajar, didik disiplin mereka, uruskan kelas dengan baik, didik mereka, beri teguran,tunjuk ajar, beri nasihat, dan buat semua yang patut kita buat tanpa ada yang berkecuali.
17.   Kalau ada yang mahu berkecuali atau lebih teruk lagi “buat sabotaj” atau menjadi “musuh dalam selimut”, percayalah kita akan terus gagal. Sehingga kita terpaksa “delete” semua “virus” yang merosakkan sistem @ ‘Tikus’ yang ‘Menebuk’ Lantai Kapal.
18.   Beberapa perkara penting yang mesti diberi perhatian oleh semua guru ialah seperti berikut;

18.1) Semua Dasar KPM, JPN, PPD, Dasar Sekolah, Dasar Kurikulum, Dasar Hem, Dasar Kokurikulum seperti yang diamalkan pada Tahun 2013 diteruskan sehingga ada sebarang pindaan atau Dasar Baru di keluarkan.
18.2) Jawatankuasa Perancangan Strategik mesti mengadakan mesyuarat dengan segera untuk menentukan hala tuju Draf Perancangan Strategik seperti yang telah dibuat oleh semua Guru Kanan Bidang dan Panitia Mata Pelajaran dan juga unit-unit dalam HEM dan Kokurikulum.
18.3) Guru-guru yang telah menghadiri kursus, sama ada KBAT,i-Think, PBS, Frog Vle atau lain-lain dan belum lagi membuat kursus dalaman hendaklah  berhubung dengan Penyelaras/Setiausaha LADAD dengan segera supaya ia dapat disampaikan dan dilaksanakan.
18.4)Seperti dijanjikan, semua RPT/RPH hendaklah menggunakan rancangan yang baru yang telah diselaraskan dengan minggu-minggu cuti penggal dan peperiksaan bagi tahun 2014. Jangan ada lagi guru yang menggunakan rancangan pelajaran lama yang ‘kelabu asap’.
18.5)Agenda Menyuarat Panitia Esok hendaklah fokus kepada Post Mortem keputusan PMR dan Perancangan Strategik Panitia 2014. Mesyuarat Panitia boleh dilaksanakan secara kolektif dan di Pengerusikan oleh Guru Kanan Bidang. Semua PK Buat Pemantauan.
         19.  Sekian, mohon maaf dan SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU DAN SESI PERSEKOLAHAN   

                BARU 2014.